Inovasi Daun Moringa Sebagai Suplemen Multivitamin Murah Bentuk Tablet | PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
» BERITA » Inovasi daun Moringa sebagai suplemen multivitamin murah bentuk tablet

Inovasi daun Moringa sebagai suplemen multivitamin murah bentuk tablet

SERDANG, 24 Mei - Kumpulan penyelidik Universiiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan daun Moringa Oleifera sebagai suplemen multivitamin yang murah dan dalam bentuk tablet, yang boleh dijadikan makanan tambahan untuk semua golongan khususnya yang berpendapatan rendah.

Inovasi produk itu yang diberi nama ‘Chewable Moringa Fruity Tablets’ juga berjaya menghilangkan rasa amat pahit daun Moringa melalui penggunaan serbuk buah sebagai agen pelindung rasa bagi menangani rasa pahit daun itu menggunakan kaedah pemampatan langsung, sehinggakan tablet yang dihasilkan boleh dikunyah.

Moringa Oleifera - yang dikenali dengan nama daun kelor, daun lemunggai, gemunggai atau remungai di kalangan masyarakat Malaysia - kaya dengan gabungan nutrient dan mengandungi anti-oksidan, sebatian anti-radang, fenolik, flavonoid dan protein lengkap serta asid amino yang penting untuk kesihatan, sehinggakan dikenali sebagai makanan super

Ketua penyelidik kumpulan itu, Prof. Madya Ir. Dr. Yus Aniza Yusof dari Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, UPM berkata anggaran kos tablet bagi skala makmal adalah rendah (10 sen / tablet) berbanding multivitamin dan suplemen yang sedia ada di pasaran.

Katanya, sekiranya seorang dewasa mengambil lima tablet setiap hari, ia boleh memenuhi 100 peratus RDA vitamin A daripada sumber semulajadi yang asli.

Beliau berkata, ‘Chewable Moringa Fruity Tablets’ itu cair pada lidah dan mempunyai tahap penyerapan nutrient yang baik di dalam badan.

“Ini dapat menghilangkan kesan laluan pertama yang biasa berlaku apabila menelan tablet iaitu tablet akan terus ke perut dan seterusnya akan diproses. Tablet ini membenarkan nutrient diserap terus di dalam badan.

“Formulasi serbuk buah dapat menyembunyikan rasa pahit serbuk dauan Moringa dan memudahkan untuk ditelan. Ia boleh dimakan atau dikunyah begitu sahaja tanpa memerlukan air seperti tablet lain,” katanya. 

Menurutnya, tahap piawaian tablet itu dicipta mengikut parameter yang ditetapkan oleh Food and Drug Administration (FDA) United States dan International Pharmacopeia untuk tablet mudah terurai. (disintegrating tablets).

Prof. Madya Ir. Dr. Yus Aniza berkata inovasi itu berpotensi untuk membantu golongan yang kekurangan zat atau kurang sihat kerana tablet itu mudah dimakan dan kosnya rendah.

“Ia juga berpotensi untuk dikomersilkan bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah, serta boleh disaranakan di zon krisis seperti zon peperangan, banjir dan kemarau kerana mudah dikendali, disimpan dan diedarkan,” katanya.

Selain beliau, ahli lain kumpulan penyelidik itu ialah Dr. Muhammad Azhar Ali, Prof. Ir. Dr. Chin Nyuk Ling, dan Dr. Mohd Nordin Ibrahim.

Moringa telah digunakan dalam perubatan tradisional selama berabad-abad dalam pelbagai budaya di seluruh dunia untuk merawat  pelbagai penyakit seperti jangkitan kulit, anemia, kegelishanan, asma, bronchitis, sesak dada, kolera, konjunktivitis, batuk ciri birit, jangkitan mata dan telinga, demam, kelenjar, bengkak, sakit kepala, tekanan darah tidak normal, histeria, sakit sendi, jerawat, psoriasis, gangguan pernafasan dan sebagainya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula sejak 1998, telah mempromosikan Moringa sebagai alternatif kepada bekalan makanan yang diimport untuk merawat malnutrisi. - UPM

Kemaskini:: 04/06/2018 [engkuliyana]

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-8947 1601
0389451596
C1532249021