| PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN

Kerjasama Strategik UPM-Airasia : Livery UPM pada Pesawat Dilancarkan

SEPANG, 12 Sep - Rakan strategik Universiti Putra Malaysia (UPM), AirAsia iaitu syarikat penerbangan tambang murah pertama di Asia yang berpengkalan di Malaysia telah menghasilkan livery pada sebuah pesawatnya, hasil rekaan oleh Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM.

Idea untuk UPM mengemukakan rekabentuk livery itu tercetus daripada perbincangan pegawai pengurusan UPM yang diketuai oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr Aini Ideris dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes di pejabat AirAsia pada 20 Jun, 2016.

Prof. Datin Paduka Dr Aini berkata paparan livery jenama Universiti Putra Malaysia pada pesawat Airbus 320 dengan nombor pesawat 9MAQD tidak berunsur komersil dan mula kelihatan pada 2 Ogos, 2017 di ruang angkasa.

“AirAsia telah menyediakan platform kepada UPM untuk menghasilkan rekaan, kreativiti dan seni dalam projek berimpak tinggi. Sewajarnya selepas ini, UPM boleh menawarkan kepakaran dalam bidang rekaan seperti mana kejayaan rekaan livery UPM pada pesawat AirAsia.

“Sebagai rakan strategik UPM, Tan Sri Tony mengenepikan aspek komersil dalam projek ini tetapi mementingkan ilmu, di mana institusi pendidikan tinggi perlu dimartabatkan,” katanya.

Beliau berkata hasil sumbangan dan respon berimpak tinggi Tan Sri Tony terhadap kerjasama strategik UPM- AirAsia itu merangkumi mobiliti pelajar dan staf, internship program high flyer AirAsia dan kerjasama akademik program eksekutif dan penyelidikan berteraskan bidang aero angkasa.

“Pengurusan universiti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Tony dan pengurusan AirAsia yang telah membenarkan imej UPM terbang lebih tinggi di awan biru.

“Tidak lupa juga terima kasih kepada rakan penaja iaitu Sepang Aircraft Engineering (SAE), An AIRBUS company yang telah menyediakan hangar pesawat pada majlis hari ini.

“UPM juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh atas komitmen dan sokongan kerjasama dalam mencetuskan idea program CEO@Faculty,” katanya.

SXDdQAV~