| PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN

Sabit elektrik E-Cutter boleh tuai kelapa sawit setinggi 30 kaki

SERDANG, 15 Feb - Penuaian kelapa sawit akan dapat dilakukan dengan lebih mudah dan cepat, melalui inovasi sabit elektrik yang dibangunkan hasil penyelidikan bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Inovasi yang diberi nama E-Cutter itu adalah suatu teknologi sabit elektrik yang mempunyai generator khas yang ringan, jimat tenaga dan mampu memetik buah kelapa sawit serta mencantas pelepah kelapa sawit sehingga ketinggian kira-kira 30 kaki.

“Penggunaannya mudah, ringkas dan lebih efisyen yang dapat mempercepatkan proses penuaian kelapa sawit sekali gus meningkatkan hasil tuaian,” kata penyelidik UPM dari Fakulti Kejuruteraan, Prof. Madya Ir. Dr. Norhisam Misron. Beliau dan Pegawai Penyelidik MPOB, Abdul Razak Jelani mengambil masa lima tahun melakukan penyelidikan penghasilannya.

“E-Cutter adalah pelengkap kepada alatan menuai kelapa sawit sedia ada yang menggunakan kaedah manual seperti galah atau sabit menuai.

“Inovasi ini merupakan penambahbaikan kepada teknologi ‘cantas’ dengan menggantikan konsep mekanikal kepada elektrik yang lebih eknomik dan mesra alam.

“Sabit akan bergetar untuk memotong pelepah atau buah kelapa sawit,”  kata Prof. Madya Ir. Dr. Norhisam.

Katanya, E-Cutter menggunakan konsep elektrik untuk menggerakkannya, berbanding kebiasaannya peladang menggunakan alat mekanikal atau manual untuk menuai buah kelapa sawit atau mencantas pelepahnya.

“Ia dibangunkan melalui sistem yang menggabungkan generator elektrik dan motor. Double Standard Generator yang mempunyai ketumpatan kuasa tinggi digunakan sebagai generator.

“Ia ringan dan kecil tetapi berkuasa tinggi dan merupakan alat yang mudah alih untuk digunakan peladang,” katanya.

Beliau berkata, E-Cutter yang beratnya kurang daripada 9kg dan digerakkan menggunakan tenaga petrol, dibangunkan melalui geran penyelidikan RM300,000 dari Kementerian Pendidikan Tinggi dan RM180,000 daripada MPOB.

Demonstrasi penggunaannya ditunjukkan pada majlis Show Case Produk Inovasi UPM-MPOB dan Malaysia Innovation Hub (MIH) di Taman Pertanian Universiti, UPM. Majlis turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh; Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, dan Pengerusi  MIH, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon.

Pada majlis itu, MIH selaku rakan industri UPM turut memperkenalkan jentera Oil Palm Harvester with Anti-brusihing Collection System yang memudahkan peladang memetik buah kelapa sawit pada pokok yang tinggi.

Jururunding Teknikal MIH, Dr David Tan berkata jentera itu untuk menuai buah pada pokok sawit yang tinggi dan boleh dikendalikan oleh hanya seorang operator.

“Ia juga mempunyai sistem pungutan untuk meminimumkan kecederaan pada buah yang boleh menjejaskan kualiti minyak yang diproeses,” katanya.

Dato’ Seri Idris pula berkata, kedua-dua inovasi itu akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing di sektor perladangan. – UPM

SXETJAP~