| PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN

UPM beri kesedaran kanser kepada masyarakat orang asli Penderas

KUALA KRAU - 17 staf Jabatan Kejururawatan dan Rehabilitasi bersama 36 orang pelajar Bacelor Kejururawatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM menganjurkan program kesedaran kanser kepada masyarakat Orang Asli di Penderas.

Penasihat program, Pensyarah Kejururawatan, FPSK UPM, Rosna Abdul Raman berkata program yang bertemakan “Kesedaran Kanser Bersama Warga Pederas 2017” bertujuan untuk memberi kesedaran dan meningkatkan pengetahuan peserta berkaitan penyakit kanser.

“Penyertaan yang aktif pada kali ini adalah petunjuk daya minat komuniti Penderas terhadap program yang berunsur penjagaan kesihatan serta menjadi motivasi kepada staf dan pelajar Jabatan Kejururawatan dan Rehabilitasi untuk  meneruskan usaha dalam menerapkan amalan gaya hidup sihat kepada masyarakat,” katanya.

Program itu diadakan bagi merapatkan hubungan di antara UPM dan warga Penderas serta meningkatkan kemahiran insaniah, keprihatinan dan tanggungjawab sosial di kalangan pelajar dan kakitangan jabatan.

Program itu disertai lebih daripada 270 penduduk Orang Asli di dua buah kampung di daerah Kuala Krau, Pahang dan diadakan di Sekolah Kebangsaan Penderas iaitu sekolah angkat FPSK sejak  tahun 2016.

Pelajar Bacelor Kejururawatan Tahun Satu, FPSK UPM,  Dzulhakim Dzulkipli berkata program itu memberikan pendedahan awal kepada beliau untuk menganjurkan program kerjasama bersama staf dan pelajar.

“Program ini membina keyakinan saya untuk berucap di hadapan orang ramai apabila telah dilantik menjadi pengacara program tersebut dan saya mendapat pengetahuan mengenai penyakit kanser,” katanya.

Pelbagai aktiviti disediakan seperti saringan kesihatan,  lot pameran  lima penyakit kanser utama di Malaysia, permainan kesihatan serta sesi karaoke. - UPM

SXDdBAz~