UPM-Royal Bird’s Nest Jalin Kerjasama Komersil AWEsome | PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
» BERITA » UPM-Royal Bird’s Nest jalin kerjasama komersil AWEsome

UPM-Royal Bird’s Nest jalin kerjasama komersil AWEsome

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto: Noor Azreen Awang

KUALA LUMPUR, 7 Mac - Laboratori Bioubatan Molekul, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Royal Bird’s Nest Sdn. Bhd. (RBN) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) kerjasama mengkomersilkan Percubaan Klinikal Manusia Pertama dalam ‘The Aging Well with Edible Bird’s Nest (EBN)’ (AWEsome).

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata melalui MoA itu UPM dan RBN akan menjalankan dua aktiviti penyelidikan serta pembangunan bersama yang merangkumi program penyelidikan utama AWEsome.

“Sebagai sebuah Universiti Penyelidikan yang mempunyai pengalaman luas dalam penyelidikan dan inovasi, UPM ingin menawarkan RBN dan syarikat-syarikat lain untuk bekerjasama serta menjadikan UPM sebagai rumah penyelidikan dan inovasi untuk pembangunan produk bernilai tinggi seperti EBN yang akan dibangunkan di bawah MoA ini,” katanya.

Ketua Pengarah Kumpukan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RBN, Dato’ Tan Chee Hong berkata kerjasama strategik tersebut membantu meningkatkan reputasi Pusat Kecemerlangan Burung Walit (COE Swiftlet) UPM dan RBN sebagai peneraju dalam kajian saintifik terkemuka.

“Syarikat kami memfokuskan kepada penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersilan sarang burung walit dan telah menghasilkan lebih 40 jenis produk suplemen kesihatan, penjagaan kulit serta pelbagai produk keperluan gaya hidup masa kini,” katanya.

Sementara itu, UPM dan RBN akan berkongsi dua aktiviti penyelidikan dan pembangunan bersama yang merangkumi program penyelidikan utama AWEsome. Kedua-dua projek penyelidikan adalah percubaan klinikal terhadap sifat anti-penuaan sarang burung yang boleh dimakan (EBN) dan platform Nutraceuticals Platform Teknologi berdasarkan EBN Prebiotic Biopeptides.

Tumpuan utama kolaborasi itu adalah melakukan penyelidikan mengenai nilai-nilai nutracosmeceutical sarang burung yang dapat dimakan untuk penuaan dengan baik. Penyelidikan ini juga disokong oleh Pusat Kecemerlangan Swiftlest dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pasukan penyelidikan AWEsome diketuai oleh Prof. Dr. Maznah Ismail serta dibantu oleh ahli lain iaitu Prof. Datin Dr. Rozi Mahmud, Dr. Norhasnida Zawawi, Dr. Ooi Der Jiun, Chuan Kim Wei, Norsharina Ismail dan Salwana Ahmad. 

AWEsome telah menjalankan penyelidikan mengenai EBN sejak lima tahun yang lalu.

Selain sarang burung yang boleh dimakan, pasukan itu juga menumpukan perhatian kepada penyelidikan makanan dan tumbuhan sumber bio tempatan yang boleh digunakan untuk meningkatkan kesihatan rakyat Malaysia dan komuniti dunia secara keseluruhan serta membongkar mekanisme nutrigenomic dalam formula proses penuaan terbaik.- UPM

Tarikh Input: 22/05/2018 | Kemaskini: 22/05/2018 | engkuliyana

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1610
03-9769 1610
SXEUBAD~